Pertiwiku bebas,
dibawa terbang keping cemara,
yang disalut darah pendekar dan panglima,
dan dalam cerita nan kita jahil hujung pangkalnya.
Pertiwiku bebas,
dari diperkosa jasadnya,
dengan laung-laung suara merdeka,
mewajakan semangat fasakh dari mereka,
kini kami jadi balu,
dan dia duda bergaya.
Kami buta bukan kerna cacatnya mata,
bukan kerna padamnya obor cahaya,
tapi kerana kau,
yang sering berahsia -- siapa sebenarnya Ibunda.
Terlalu banyak buku disebak,
terlalu banyak cerita dijelak,
telah diselami pelbagai versi,
tinggal milih kanan dan kiri.
Lihat kemataku kau tidak kan jumpa api,
cuma muntah-muntah kosong yang telah kau suap tempoh hari,
yang kalau badang menjamahnya pun ; bakal ajal pucuknya,
aku tahu kini kau sepastinya bangga.
Katanya pertiwiku kini bebas,
dari diperkosa jasadnya,
cuma darah pendekar dan panglima aku kenangkan,
dan semalam aku mendapat berita --
cuma jasadnya saja.
No comments:
Post a Comment