Si mencit bertanya kepada cintanya si kodok,
"Tahukah kanda
apakah erti diri kanda kepada adinda? Tatkala mentari mampir,
kanda adalah kekuatan dinda menghela. Dan bila malam tiba,
kanda adalah kelenaan dinda yang paling asyik.
Tapi apakah mampu untuk kita bersama
di alam nyata seperti kita di dalam sukma?
Zahirnya kita cuma bertemu di santapan persimpangan fajar.
Kehilangan kanda disepanjang waktu setelahnya
begitu membuat gelojak dinda dahaga dan lapar!
Puas diteguk
lima ratus kali teguk.
Rakus dinda melahap
ibarat kebuluran membinasa diri.
Tolonglah adinda!
Dinda mengerti diri tak bernilai dimata kanda,
tetapi belas kanda teramatlah ditagih!
Biarkan terik matahari menyuburkan baja,
dan keringkanlah ia, agar menjadi tenaga
buat memanas dan menerangi kamar siraman adinda.
Saksikanlah kejumudan dan kejahilanku kanda,
hingga herba dan kelopak eglantin tumbuh darinya.
Laksana fitrah matahari kemilaukan bumi.
Renunglah hikmah Tuhan pada dosa-dosa
yang kita lahiri!
Si mencit terus merayu kepada si kodok, "Oh sahabat adinda,
dinda tahu dimata kanda buruknya dinda.
Bahkan adinda buruk di mata sendiri!
Adinda sungguhnya buruk paras!
Tetapi kanda bakal mengalirkan airmata
pabila dinda mati, bukankah? Akankah kanda berteleku di pusara
adinda dan menghadiahkan sedikit esak, bukankah?
Tiada tinggi pinta dinda,
melainkan masa bersama sementara
nyawa dinda didegup jiwa!
Di detik ini. Dinda terlalu dambarkan kanda DI DETIK INI!"
Al-kisah seorang bangsawan diamanah buat
menghargai seorang sufi dengan kepingan perak.
"Mahukah dikau satu kepingan perak sekarang,
Wahai Wali Tuhanku, atau tiga ketika sarapan
fajar esok?"
Sufi menjawab,
"Sesungguhnya aku lebih mensyukuri separuh kepingan perak
yang sedang ku genggam semenjak semalam lebih dari janjimu untuk
satu kepingan perak yang ingin kau beri hari ini, maupun seratus kepingan
perak buat esoknya.
Nescaya seorang sufi adalah insan yang berpaksi pada detik ini."
Kembali kepada si mencit, seraya berkata,
"Tamparan detik ini
terlangsai tepat pada waktunya. Maka tamparlah daku,
di tengkukku, atau di mana-mana!"
Duhai jiwa kepada jiwaku dari jutaan semesta,
jelmalah dikau jadi alir sungai ini, buat kelopak jasmin
bakalan tumbuh di pinggir, supaya yang nun jauh
bisa melihat pancar warnanya dan tahu
ada punca kocak air di sini.
"Pada wajahnya terpapar petanda." Lapangan kebun bercerita
bahawa hujan telah melawatinya malam kelmarin. Ada petanda
pada kesegarannya.
Kembali, si mencit,
"Oh sahabat, adinda dicipta dari tanah,
dan untuk khidmat tanah. Tatkala kanda dicipta dari air.
Dinda di pinggiran tebing tidak putus-putus memangil nama kanda.
Simpatilah. Dinda tak punya kudrat mengikut kanda ke dalam air.
Adakah jalan untuk kita bersama dalam perkhabaran?
Pengutus? Pengingat?"
Maka kedua teman itu sepakat bahawa jawapannya
adalah kepanjangan, kerinduan tertaut pada senar yang panjang,
dengan satunya diikat pada kaki si mencit dan satu lagi ke kaki si kodok,
jadi bila tarikan senar dirasa antara keduanya; tertusuk rahsia perhubungan
yang bisa jadi pengingat lantas mereka mampu bertemu,
laksana jiwa yang sebati mengalunkan jasad.
Terkadang jiwa si kodok terlupa dalam lonjak gembira
saat tubuh dicium air. Lantas senar yang ditarik
dari jasad si mencit, menyentak jiwa,
Celaka,
aku harus kembali ke tebingan sungai dan berbicara
sama si mencit yang keangauan itu!
Kalian bakalan dengar hujung pangkal
ceritera ini bila kita dibangkitkan, pada Hari Pengadilan!
Maka berpautanlah si mencit dan si kodok pada senar,
walau jiwa si kodok terkadang dijentik keserabutan.
Jangan kau tepis naluri yang menyusup.
Tatkala kau diramas enggan dalam melakukan sesuatu,
dengarilah ia. Firasat itu dari Tuhanmu.
Ingatlah dikau kisah ada juga tentera bergajah
yang enggan berarak menuju ke Kaabah. Langkahnya
lumpuh pada arah itu, lantas melencong ke Yaman.
Itulah namanya bisikan dari yang tak terlihatkan.
Sepertinya juga Nabi Yaakob, pabila anaknya yang lain mahu
membawa Yusuf keluar negeri selama dua hari,
hatinya berdetak pada pemergian mereka, dan sungguh ia terjadi,
dengan qada' dan qadar Yang Esa, meski gerak batin,
telah merasa dalam jiwanya.
Bukan orang buta sahaja yang
terjatuh ke dalam jurang. Terkadang yang celik juga bisa.
Insan yang suci terkadang tersadung dan jatuh,
namun dengan onar dan duri yang datang, dia bangkit,
menongkah illusi, melawan
kelaziman agama, berlepas jiwa
dari belengguan fitrah alamiah.
Fikirlah dikau bagaimana FITRAH ALAMIAH menerjang
kita dari gurun gersang yang tak punya apa-apa
lalu menerobos ke dalam kematanan ini.
Siang dan malam,
tiba dalam atur yang panjang dan saling
silih berganti, "Tiba giliranku sekarang. Undur!"
Si anak yang telah mumayyiz, dan tiba masa bapanya berangkat pergi.
Fitrah alamiah ini adalah transisi mega
di lebuhraya, bersama segala yang memilih
jalan masing-masing.
Kita mungkin tampak kaku,
tapi hakikatnya kita bergerak, dan fantasi
fitrah alamiah ini menggelungsur melepasi
kita bak buah fikiran di balik tirai.
Mereka memang cocok
bagai cinta yang terdalam antara setiapnya kita.
Mereka memenuhkan balangnya disana, lantas berlalu pergi.
Ada punca dari azali yang mereka datang,
dan ada sumber didalam setiap kita.
Bermurah hatilah.
Bersyukurlah. Dan akuilah sekiranya kau tidak.
Akal kita begitu dangkal
untuk merungkai kuasa Tuhan
yang tak tercapaikan!
Siapalah aku,
yang berdiri sumbang dalam kekabusan
fikir-fikir yang menyesakkan?
**Hasil karya asal Jelaluddin Rumi bertajuk "The Longing",
asalnya dalam bahasa Parsi,
diterjermah ke Bahasa Inggeris oleh Coleman Barks,
dan kini diterjermah ke bahasa Melayu oleh saya.