Saturday, 30 August 2014

Di Hadapan Pantai Beserah

       Aku berasa Tuhan juga turut merestui aku untuk jatuh cinta waktu itu.

       Di hadapan laut yang redup, aku berbual dengan Karim tentang cinta pertama masing-masing. "Cinta pertama sebenarnya bukanlah sesuatu yang penting untuk dikenang-kenang..", dia membiarkan bicaranya terhenti seketika sambil menghembus asap pekat dari hidung dan mulutnya, sebelum menyambung, "..kerana cinta terakhir itu yang patut dihargai dan lebih diangkat..". Kepul asap tadi hilang ditiup angin petang yang deras, dan aku bermenung jauh ke tengah pantai memerhatikan bot-bot nelayan pulang dari ufuk tempat berundurnya matahari. Karim menenyeh puntung rokok dengan kaki lalu dia mengajak aku pulang, "Marilah, sudah mahu maghrib!".

       Dalam luncuran kereta aku masih diam sendiri ditemani pemandangan langit merah yang saujana dari luar jendela..

       Karim, cintaku tak murah sepertimu. Yang selalu kau beri pada gadis-gadis yang kau kenan dan idami. Mungkin puluhan gadis pernah kau berkasih, seorang demi seorang kau mencari, cinta kau telah kerap bertukar ganti. Cinta aku mahal Karim. Cintaku selalunya terdiam sepi dalam peraduan hati yang paling dalam. Setelah sejuta gadis yang aku lewati, aku hadiahkan jiwa kepada seorangnya sahaja. Apatah lagi dia cinta pertama, mana mungkin begitu mudah aku melupa. Karim, kau takkan faham, kerana kau bukanlah lelaki sepi. Kau jantan bahagia, aku jantan derita dan perahsia. Malah...

       "Iwan! Oh, Iwan! Kita dah sampai ni. Marilah naik. Senja ni banyak nyamuk.", suara Karim memutuskan asyik aku dalam lamunan.

       Aku lihat Makcik Idah, ibu Karim menunggu di depan pintu dengan senyum. Setelah capal dibuka, aku menaiki tangga batu dan masuk ke rumah. Dengan ekor mata aku lihat Karim dan ibunya berbisik sambil menjeling-jeling aku dan telinga ku tertangkap bicara mereka sebutir dua.

       Tidak Makcik Idah.. Tidak. Aku baik-baik saja. Aku sememangnya tidak gila, cuma hatiku terlalu patah dan jasad ini hilang upaya untuk banyak ramahnya.

       "Lekaslah mandi Iwan, lepas itu kita makan! Ikan segar dari laut yang terus dimasak lain penangannya tahu?", baik benar Karim melayani aku.

       "Baik, Karim!", aku membalas dengan senyum.

       Makcik Idah melihat wajahku dengan senyum tawar sambil berlalu. Aku rasa dia kini lebih mengerti bahawa aku ini cumanya seorang anak muda yang patah hati.

Monday, 25 August 2014

Perompak Bahasa

Di hamparan tempur ini,
kau curi peluru yang ku tabur
kau pukau askar yang ku asuh
kau tangkap debu medan
yang terawang

lalu kau bunuh jahil yang beratur
dalam 7 petala langit semasa ku tertidur

Dihadapan maharaja dan jelata,
Kau diangkat jadi perwira
dan aku menganga.

Monday, 18 August 2014

Ahli Ugama

          Seorang ahli ugama menghempas pulas diri beramal soleh di teratak usang sendirian berabad. Diakui dengan lidah tiap waktu dengan zikir yang tak berperhentian. Sehingga orang-orang kampungnya tertarik hati dan mengikutinya seorang demi seorang. Bercambahan pengikut ahli ugama itu kian tambah, hingga keringat dikerah bina madrasah. Tiap kata ahli ugama itu tiada pembangkangan, apa sahaja nasihah dari lidah dianggap azimat hidup bagi setiapnya.

          Maka pada hari perasmian madrasah indah itu, ahli ugama berarakan bersama pengikutnya bersolat hajat segala bagi memohon keberkatan dari empunya dunia. Usai majlis moreh ahli ugama maun pulang ke terataknya. Diiringi langkah dia oleh penyanjung nya. Saat itu terdongak dia pada langit, di mana awan mencorakkan kalimah tuhan.

          Seraya bersujud dia dengan air mata bercucuran, sambil merintih..

          "Ya Allah dengan petanda ini memang benarlah kewujudanmu ya tuhanku.. Terima kasih tuhan kerana memberikanku tanda ini...! Memang inilah petanda kebenaran agamamu......"

         Maka setiap pengikutnya pun merintih keluh bersama dalam syahdu.

         Dalam celahan-celahan wajah itu ada seorang mengerut dahi. Dalam diam dia membisikkan dalam hati,

         "Jadi sebelum datangnya petanda ini, batiniahnya ada ragu?"

Tuesday, 12 August 2014

Goodnight Captain O Captain

When I was a young kid I always said that people that not yet watched Dead Poet Society know nothing about poetry.
But now, I think I'm gonna change that statement, since lots of people been writing poem long before the movie existed.
So, I just gonna say, most people that not yet watched Dead Poet Society know nothing about their meaning of life.

Goodnight, Mr. Keating.
What a great teacher you were.

Dead Poet Society, 1989